Sunday, 3 June 2012

Buat Duit Dengan YouTube


Tahukah anda bahawa ramai yang telah berjaya menjana pendapatan mencecah jutaan ringgit dengan hanya memulakan sesuatu yang kreatif dan memuat naik hasil karya mereka di YouTube? Apabila kita menyebut tentang kreativiti, peluang untuk berkarya adalah sangat luas kerana tahap dan bentuk kreativiti antara seoarng individu dengan yang lain adalah berbeza. Peluang untuk berkarya dan memaparkan kreativiti anda di internet adalah bak kata pepatah “Tak terjangkau dek akal” atau “Bak dalam dan luasnya lautan yang tak bertepi”. Cuba bayangkan berapa ramai penduduk di seluruh dunia yang mempunyai komputer dan kemudahan internet di rumah ataupun di tempat awam yang berdekatan dengan mereka.
Jumlah penduduk dunia setakat bulan Julai 2011 ialah 6.97 bilion seperti yang dilaporkan oleh United States Census Bureau. Statistik yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan YouTube pula menunjukkan bahawa setakat bulan May 2011,YouTube telah merekodkan kekerapan tontonan sebanyak lebih 3 bilion dalam satu hari! Satu jumlah yang amat besar. 99% daripada tontonan tersebut adalah merujuk kepada tontonan video yang dimuat naik oleh sesiapa sahaja ke lamanYouTube.
Mengikut statistik ini, peluang untuk seseorang menjana pendapatan melalui laman webYouTube amatlah besar. Tetapi anda perlu ingat beberapa perkara penting sebelum memulakan niat anda untuk memaparkan video anda di lamanYouTube. Anda perlu ingat bahawa anda akan dibayar oleh YouTube setelah anda diterima menjadi rakan kongsiYouTube (YouTube Partner). Awas! YouTube tidak akan membayar anda jika kandungan video atau fail bukan dihasilkan oleh anda sendiri. Jika ia adalah hasil kerja orang lain, anda perlu menunjukkan bukti kepada YouTubekebenaran telah diberikan kepada anda oleh pemilik fail atau video tersebut. Jika video atau fail anda mengandungi gambar orang lain, anda juga perlu mendapat kebenaran untuk memaparkannya di laman YouTube. Suatu video atau fail tidak boleh mengandungi gambar yang tidak sesuai bagi tontonan kanak-kanak.
Satu contoh yang boleh anda ambil ialah mengenai Justin Bieber yang sekarang ini tersohor kerana video nyanyiannya yang dipaparkan di YouTube. Justin Bieber sebenarnya tidak menjana pendapatan dari YouTube tetapi menggunakanYouTube hanya sebagai landasan untuk menempah nama di dunia muzik dan hiburan. Ini adalah kerana video yang beliau hasilkan mengandungi lagu yang sedia ada tetapi beliau sebenarnya tidak mendapat kebenaran untuk menyiarkannnya di YouTube.
Langkah-langkah yang perlu untuk memulakan usaha anda menjana wang melalui YouTube:
Langkah 1: Hasilkan video yang menarik !
Anda perlu mempunyai perakam video yang bagus supaya kualiti video yang anda rakam dapat dihasilkan dengan baik. Ide yang kreatif akan menjadikan video anda kerap ditonton. Kebanyakan orang akan merekod aksi dan gelagat binatang kesayanagn kerana mreka tidak perlu meminta kebenaran untuk menyiarkan video tersebut di laman YouTube.Anda perlu ingat, tanpa kebenaran YouTube tidak akan memasukkan video anda ke dalam program untuk menjana pendapatan daripada iklan-iklan. Selepas rakaman, anda perlu membuat suntingan supaya tempoh video yang siap tidak terlalu panjang. Pada kebiasaannya, tempoh video yang selalu di muat naik ke YouTube adalah tidak melebihi 4 minit. Anda juga perlu berhati-hati dengan proses memasukkan audio supaya suara atau muzik latar dan gambar yang dipaparkan adalah seiring.
Langkah 2: Cipta nama yang canggih dan mudah diingati
Sementara menunggu video anda dipaparkan, carilah nama yang mudah diingati serta menarik untuk diberikan kepada video hasil kerja anda. Selalunya nama akan diberi selari dengan kandungan atau jalan cerita video anda. Contoh nama yang masyhur di YouTube ialah “Sneezing Panda” yang merakamkan aksi dan gelagat seekor beruang Panda sedang bersin.
Langkah 3: Ulang langkah 1 dan langkah 2
Jika anda mahu berjaya seperti rakan kongsi YouTubePhilipDeFranco dan lain-lain, anda perlu rajin dan tahu bagaimana anda boleh menyebarkan dan membuat pemasaran tentang video anda supaya ramai yang layari YouTubeuntuk menonton video anda. Anda boleh memasarkannya di Facebook, forum dan laman web yang lain.
Jika anda ingin menjadi rakan kongsi YouTube, anda mesti sentiasa memuat naik video yang ditonton oleh ramai pelanggan YouTube. Jangan putus asa. Teruskan merakam dan teruskan usaha untuk membuat sebaran dan pemasaran.
Langkah 4: Semak emel anda !
Pihak YouTube akan menghubungi anda melalui emel jika video anda mendapat sambutan ramai. YouTube akan mengundang anda untuk membuat permohonan berkongsi pendapatan untuk video anda yang dipilih oleh YouTube. Apabila kelulusan diberi, anda akan mula menjana pendapatan untuk video yang terpilih itu.
Langkah 5: Membuat permohonan melalui program rakan kongsi YouTube
Jika anda sudah mempunyai jumlah video yang dimuat naik dan ditonton yang mencukupi mengikut kiraan pihakYoutube, anda boleh membuat permohonan secara langsung untuk menjadi rakan kongsi di bawah program rakan kongsi YouTube. Apabila pihak YouTube meluluskan permohonan anda, perkongsian pendapatan daripada paparan semua video anda akan bermula. Proses perkongsian pendapatan akan berterusan selagi video anda tidak melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan. Anda juga boleh menambah pendapatan dengan menyewa video anda kepada golongan yang berminat.
Langkah 5: Mulakan proses permohonan
Anda harus membaca dokumen panduan tentang program rakan kongsi YouTube. Pastikan anda tidak melanggar mana-mana syarat dan undang-undang yang ditetapkan.
Anda tidak akan dibenarkan membuat permohonan seterusnya selama 2 bulan jika YouTube tidak meluluskan permohonan anda.
Langkah 6: Buka akaun dengan Google AdSense
Setelah anda sudah menyemak dan betul-betul faham akan syarat dan undang-undang tersebut, anda perlukan akaun di dalam Google AdSense untuk menghubungkan akaun YouTube anda. Hubungan inilah yang akan membolehkan bayaran dikira dan dibuat kepada anda terhadap video yang terpilih.
Walaubagaimanapun, wang yang anda boleh keluarkan daripada akaun anda ialah apabila akaun anda sudah mempunyai baki lebih daripada USD$100. Oleh itu, jika lebih banyak video yang menarik anda paparkan dan lebih banyak ditonton orang, lebih banyak bayaran yang akan terima bagi membolehkan anda membuat penegeluaran.
Langkah 7: Tempoh menunggu untuk YouTube memproses permohonan
YouTube akan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 minggu untuk menilai dan menentukan samada video anda akan diterima atau tidak. Anda tidak perlu membuat apa-apa selama waktu ini atau jika anda tidak mahu membuang masa, anda boleh juga terus berkarya! Siapkan rakaman video seterusnya.
Langkah 8 : Mulalah buat duit !
Sebaik sahaja permohonan anda diluluskan, anda akan dibenarkan menayangkan segala iklan yang keluar dibahagian bawah video anda. Terdapat juga iklan banner yang muncul dibahagian tepi video atau sesetengah iklan yang akan dimasukkan secara pantas dibahagian hadapan video anda sebagai pengenalan dan sebagainya.
Langkah 9: Ulang langkah 1
Jika permohonan anda tidak diluluskan, anda bermungkinan besar tidak mengikut salah satu langkah yang disebutkan di atas. Oleh kerana anda akan diberi tempoh selama 2 bulan sebelum permohonan baru boleh dikemukakan kepada pihak YouTube, anda dinasihatkan supaya mengulangi langkah-langkah tersebut dengan lebih teliti. Undang-undang dan syarat-syarat yang dikenakan mestilah diikuti dengan betul.
Ramai yang berjaya menjana pendapatan di YouTube adalah mereka yang rajin dan teliti serta patuh kepada langkah-langkah yang diberi.
Jika anda mendapat lebih dari 5 juta komen atau 20 juta tontonan dalam masa satu bulan, pihak Google Adsense akan menghantar jemputan khas kepada anda untuk menjadi salah seorang rakan di dalam program Premium Publisher. Program ini adalah program khas dan ianya akan dibuka kepada sesiapa yang layak atas jemputan khas sahaja.
Cara tersebut yang dibincang secara terperinci adalah bagaimana anda menjana pendapatan melalui YouTube dan menjadi rakan kongsi YouTube. Ada beberapa cara lain yang juga dikaitkan dengan menjana pendapatan di YouTubeyang anda boleh mulakan. Antara lain ialah membuat wang dengan menyertai program Affiliate contohnya Affiliate Clickbank atau Affilliate tempatan.
Affiliate Clickbank adalah organisasi yang menjadi pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan program Affiliateberpusat atau gedung bagi pemasaran sesuatu produk atau perkhidmatan sesuatu syarikat atau individu yang menggunakan perkhidmatan mereka. Anda boleh menyertai program Affiliate Clickbank secara percuma dan anda akan dikenakan yuran yang tertentu apabila produk atau khidmat anda dilanggani. Affiliate Clickbank merupakan pusat yang akan menguruskan segala transaksi dari segi pengiklanan sehinggalah membuat pembayaran kepada anda.
Anda boleh mencuba untuk menyertai program Affiliate tempatan. Kaedah yang digunakan adalah sama seperti kaedah yang digunakan oleh program Affiliate clickbank tetapi sesuai dengan namanya, program Affiliate tempatan hanya akan membolehkan transaksi sekitar dalam negara sahaja. Oleh itu peluang untuk anda membuat duit melalui kaedah ini adalah terhad kepada pasaran tempatan sahaja. Jika anda seorang yang baru hendak bermula, cara ini mungkin boleh anda sertai sebagai landasan sebelum melonjak ke tahap yang lebih jauh seperti menempah nama di persada antarabangsa!
Salah satu lagi cara untuk menjana pendapatan melalui YouTube ialah dengan cara memuat naik video atau membuat hubungan dengan video yang dipaparkan di YouTube ke laman web atau blog anda sendiri. Anda harus bijak menilai video yang hendak dihubungkaitkan dengan blog atau laman web anda. Cara ini boleh anda gunakan jika anda memang mempunyai produk atau perkhidmatan yang ingin anda jual samada di dalam negara mahupun ke pasaran luar negara. Apabila anda meletakkan video yang memang mendapat tontonan yang banyak di YouTube, dengan secara tidak langsung laman web atau blog anda akan dapat dijejaki oleh penonton dan sekaligus akan menarik perhatian mereka kepada produk dan perkhidmatan yang anda tawarkan. Dalam erti kata lain, video-video yang mendapat tontonan yang banyak di YouTube ini menjadi satu cara pengiklanan yang anda aplikasikan di laman web atau blog perniagaan anda. Walaubagaimanapun, anda perlu membuat penilaian yang betul sebelum meletakkan video-video tersebut dilaman web atau blog anda supaya ianya bersesuaian dengan tema atau jenis produk yang anda jual. Jika sebaliknya, penonton atau bakal pelanggan akan menjadi keliru dan tidak dapat memahami bahawa tujuan anda sebenarnya adalah untuk menjual produk anda bukannya untuk memaparkan video tersebut semata-mata.
Kesimpulannya, walau apa cara sekalipun yang akan anda cuba untuk membuat duit di YouTube atau melalui YouTube,anda harus tahu matlamat sendiri dan perlu kreatif dalam menghasilkan apa jua produk, video atau perkhidmatan. Peluang yang terbentang luas perlu direnangi dengan bijak supaya anda tidak terus tenggelam di dasar.

Keajaiban Sedekah

Sedekah adalah amalan yang mulia. Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita. Kerana setiap perbuatan baik akan dibalas dengan perkara yang baik juga. Allah akan melapangkan dada, membuatkan kita gembira, melegakan perasaan dan mensejahterkan seluruh hidup kita. Bersedekahlah kita walau sedikit dengan seikhlasnya. Kerana, dalam setiap rezeki dan harta yang kita miliki itu terdapat juga hak orang lain. Jadi, adalah lebih baik jika ia dikongsi dan dinikmati bersama. Beriman dengannya dan bersedekah seikhlasnya. Sedekah seikhlasnya mampu meringankan beban seseorang dan menjauhkan diri kita daripada panas api neraka.
Perkara-perkara untuk mendapat kesempurnaan dalam amalan sedekah
Dalam amalan bersedekah, kita perlu melakukannya dengan ikhlas kerana Allah. Bukan disebabkan nama dan balasan dikemudian hari. Bagi memastikan sedekah kita tidak sia-sia, Islam mengajar umatnya menyumbang dan bersedekah dengan menepati erti sedekah yang sebenar. Maka, beberapa perkara perlu diambil kira demi kesempurnaan dalam amalan bersedekah.
Barang yang elok dan baik
Antaranya, barang yang hendak disedekahkan itu mesti baik, elok dan tidak malu untuk dipakai. Jika kita sendiri tidak tergamak memakainya, tidak perlulah barang itu disedekahkan. Sedekahlah dengan barang yang disukai penerima. Allah melarang kita bersedekah dengan barang yang tidak elok kerana sedekah adalah ibadat dan sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah. Buktinya telah Allah nyatakan dalam Surah Al- Baqarah ayat 267.
Hasil yang halal
Semua perkara atau wang yang kita sedekahkan kepada golongan yang memerlukan mesti terdiri daripada hasil yang halal. Kerana, pemberian yang halal akan menggugurkan dosa dan mendatangkan pahala. Selain itu juga akan dijauhkan dari bala. Seseorang yang bersedekah dengan harta yang halal juga akan dijauhkan daripada api neraka dan akan dimasukkan ke dalam syurga. Sekiranya seseorang bersedekah dengan harta yang haram, dia tidak akan memperolehi sebarang kebaikan kecuali azab kerana memberi sesuatu yang haram kepada orang lain. Terdapat sebuah hadith mengatakan bahawa di dalam neraka Jahanam terdapat sebuah rumah yang bernama ‘Baitul Huzni’ yang disediakan Allah bagi orang yang bersedekah daripada harta yang haram.
Memberi sedekah barang yang disayangi
Kemudian, adalah sunat bagi kita untuk memberi sedekah barang yang menjadi kesayangan dan kesukaan kita tidak kira banyak atau sedikit. Allah juga telah membuktikan perkara ini dalam Surah Al-Imran ayat 92 bermaksud, “Kamu sekali-kali tidak akan mecapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa juga yang kamu dermakan maka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”
Sedekah dengan niat yang ikhlas
Sedekah dengan seikhlas hati, bukan mengungkit, merungut, membidas dan menyakiti hati orang yang menerima sedekah kerana perbuatan ini haram dan akan merosakkan niat bersedekah. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 264 bermaksud, Allah telah membandingkan orang yang mengungkit dalam amalan sedekahnya seperti “Batu licin yang terdapat tanah diatasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat. Setelah hujan reda, batu itu sudah licin dan tiada lagi tanah di atasnya. Demikian juga dengan orang yang kafir dan riak. Mereka gagal mendapat satu ganjaran pahala daripada apa yang telah diusahakan. Dan ingatlah bahawa Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum kafir.”
Sedekah yang tidak dihebahkan
Sedekah yang tidak dihebahkan adalah lebih afdal. Ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Hal seperti ini akan membuatkan keikhlasan itu sangat dekat dengan kita. Maka, kita akan jauh dari perasaan riak yang boleh merosakkan amalan sedekah. Tidak berguna jika niat bersedekah itu untuk mendapat pujian daripada pihak lain. Allah juga telah memaklumkan perkara ini dalam Surah Al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud, “Jika menampakkan sedekah kamu ini sangat baik, tetapi jika kamu merahsiakannya dan memberikan kepada orang fakir, maka itu lebih baik bagi kamu dan akan melepaskan kamu dari kejahatan sendiri, Allah menyedari setiap apa yang kamu kerjakan.”
Sedekah untuk menyucikan diri dan harta
Surah Al-Taubah ayat 103 membuktikan bahawa, “Ambil sedekah daripada harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan mereka, dan doakanlah mereka. Sesungguhnya doa kau itu menjadi ketenangan hati mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ayat ini mewakili dua perkara utama iaitu barang yang harus disedekahkan dan sebab untuk bersedekah. Sedekah bertujuan membersihkan jiwa dan harta yang dimiliki.”
Sedekah bukan sekadar memberi, amalan ini mempunyai banyak manfaat yang perlu kita ketahui. Manfaat sedekah bukan hanya dirasakan oleh penerima atau pihak yang kita beri sedekah, namun manfaat sedekah itu juga mampu kita rasakannya. Amalan sedekah sangat digalakkan dalam Islam, kerana kita mampu memberikan kesenangan dan kebahagiaan kepada pihak yang memerlukan. Lebih-lebih lagi kepada golongan yang betul-betul memerlukan bantuan. Banyak manfaat yang boleh kita perolehi dari amalan bersedekah ini.
Manfaat sedekah
Antaranya ialah, mengasingkan sebahagian kecil daripada harta kita untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan. Sekiranya beban itu semakin ringan, kita turut merasai kebahagiannya. Manfaat bukan kerana wang dan harta yang dikeluarkan semasa bersedekah, Adakah anda memikirkan bahawa wang yang dikeluarkan itu mendatangkan manfaat? Sudah pasti bukan kerana wang yang dikeluarkan. Kita harus memikirkannya untuk jangka masa yang panjang.
Sedekah mampu memadam dosa
Pada masa hadapan kita bakal diberikan kebaikan oleh Allah dan kita akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Selain itu, kita juga akan mengurangi dosa lama yang telah kita lakukan. Menurut Hadis Riwayat At-Tirmizi, “Sedekah itu menghapuskan kesalahan seperti air memadamkan api.” Senyum juga adalah sedekah. Hanya melemparkan senyuman sudah mendatangkan pahala buat kita. Tidak perlu mengeluarkan wang dan juga peluh. Jadi, mari kita bersedekah dan memadam dosa silam!
Sedekah mampu menghindar dari kematian Suul Khatimah
Di samping itu, amalan bersedekah juga mampu menghindarkan kita dari kematian yang Suul Khatimah. Suul Khatimah bermaksud kematian dalam keadaan yang tidak beriman. Sebagai contoh, seorang yang sangat leka dengan urusan dunia sehingga tidak bersedia untuk mati. Selain itu, orang itu juga tidak bersedekah kerana terlalu cintakan hartanya lebih dari cintanya kepada Allah SWT. Terdapat banyak hadith yang berkata, “Sesungguhnya sedekah itu akan memadamkan amarah Allah dan menghindarkan diri dari kematian yang buruk.”
Sedekah mampu menghindarkan bala
Menurut beberapa hadith yang lain, memulakan hari kita dengan bersedekah akan menghindarkan kejadian buruk dan tidak diingini. Jika kita tidak mempunyai harta, doa untuk kebahagiaan peminta sedekah juga dikira. Boleh kita katakan bahawa sedekah itu mampu menolak bencana dan bala. Kerana kita telah bersedekah pada hari itu, Allah akan melindungi kita sepanjang hari kita besedekah. Adakah kita mahu diberkati sepanjang hari? Sudah pasti! Sedekah adalah pembuka amalan yang suci sepanjang hari.
Sedekah mampu menyucikan jiwa
Sedekah juga mampu menyucikan jiwa dan harta kita. Hati orang yang bersedekah akan tenang dan aman. Selain itu jiwanya akan damai, bersih dan terhindar dari perasaan yang negatif. Semua hartanya juga akan diberkati Allah SWT. Sekiranya datang seorang peminta sedekah kepada kita, jangan dimarahi dan ditengking golongan itu. Jangan berkelakuan jahat dengannya walaupun sedikit. Kerana dosa menengking dan menyakiti hatinya adalah lebih besar daripada pahala jika bersedekah dengan separuh harta yang dimiliki. Jangan pula kita menolak orang yang mula-mula mendatangi kita, kerana kadang-kadang mereka itu bukan manusia. Mereka mungkin jin yang diamanahkan Allah untuk datang dan menguji kita dengan harta yang kita miliki. Jika kita menengking, kelak kita akan ditengking oleh Malaikat semasa hari Qiamat.
Sedekah mampu memanjangkan umur
Percayakah anda bahawa sedekah akan memanjangkan umur kita? Kerana Allah telah melanjutkan usia kerana amalan sedekah yang sering kita lakukan itu. Allah sendiri telah mengatakan kepada Rasulullah bahawa sedekah memang akan memanjangkan umur dan juga mampu menunda kematian seseorang.

Artikel Berkaitan:

Sejarah dan Fenomena Facebook


Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang dikendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc. Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook.
Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemas kini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan. Selain itu, pengguna juga boleh menyertai rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej.
Nama Facebook berasal daripada timangan yang digunakan untuk buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di AS dengan tujuan membantu penuntut saling mengenali.
Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebilik nya iaitu Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Zuckerberg dilahirkan pada tahun 1984 di New York. Facebook adalah merupakan satu sistem jaringan sosial yang beliau cipta bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama pelajar di Universiti Harvard. Facebook direka untuk rakan rakannya yang lain di universiti bagi memudahkan mereka berinteraksi antara satu sama lain dan supaya lebih mengenali sesama mereka.
Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasanBoston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.
Konsep asal Facebook dipinjam dari hasil keluaran Akademi Phillips Exeter, sebuah sekolah persediaan yang pernah dihadiri oleh Zuckerberg, yang menerbitkan dan mengedarkan manual bercetak untuk semua pelajar dan fakulti selama berpuluh-puluh tahun, iaitu “face book“.
Facebook juga berdepan dengan kontroversi. Mula-mulanya, ia pernah disekat secara sementara di beberapa negara termasuk Syria, China, Vietnam dan Iran. Facebook juga dilarang di kebanyakan tempat kerja untuk menghindarkan para pekerja daripada membuang masa bersama perkhidmatannya.
Satu lagi isu adalah para pengguna Facebook dicabuli privasi mereka beberapa kali. Facebook pernah menjelaskan tuntutan mahkamah mengenai kod sumber dan harta intelek. Tapak web ini juga pernah terlibat dalam kontroversi penjualan peminat dan rakan-rakan.
Facemash
Mark Zuckerberg mencipta Facemash pada 28 Oktober 2003, sebagai pelajar tahun dua di Universiti Harvard. Facemash meletakkan dua gambar bersebelahan sekali lalu meminta para pengguna untuk memilih orang mana yang ‘lebih hangat’”. Untuk melakukan demikian, Zuckerberg menggodam kawasan terlindung dalam rangkaian komputer Harvard lalu menyalin gambar-gambar ID asrama yang sulit.
Ketika itu, Harvard tiada buku panduan pelajar yang diisi gambar dan maklumat asas, dan Facemash berjaya menjana 450 pelawat dan 22,000 tontonan foto sepanjang empat jam terawal nya dalam talian. Ciri-ciri Facemash yang mencerminkan komuniti fizikal orang ramai, dengan identiti sebenar sekali, merupakan aspek-aspek terpenting untuk Facebook.
Tapak web berkenaan dikirimkan ke beberapa pelayan senarai kumpulan kampus, tetapi beberapa hari kemudian, ia ditutup oleh pihak pentadbiran Harvard. Zuckerberg didakwa mencabuli keselamatan, hak cipta, dan privasi individu oleh pihak pentadbiran, sehingga menghadapi hukuman buang sekolah, tetapi akhirnya tuduhan-tuduhan tersebut digugurkan.
The Facebook
Pada penggal berikutnya, Zuckerberg mula menulis kod untuk sebuah laman web baru pada Januari 2004. Beliau mengakui dirinya diilhamkan oleh editorial dalam senaskhah The Harvard Crimson mengenai peristiwa Facemash.
“Saya rasa adalah tidak masuk akal bagi pihak Universiti untuk memakan masa dua tahun untuk membiasakan diri. Saya boleh melakukannya dengan lebih baik daripada mereka, dan saya mampu melakukannya dalam seminggu.”
Keahlian TheFacebook.com pada mulanya terhad kepada pelajar Kolej Harvard, dan dalam sebulan pertama, lebih separuh jumlah mahasiswa Harvard berdaftar dengan perkhidmatan ini. Kemudian, Zuckerberg disertai oleh Eduardo Saverin (aspek perniagaan), Dustin Moskovitz (pengaturcara), Andrew McCollum (pereka grafik), dan Chris Hughes untuk mempromosikan tapak web ini.
Pada Mac 2004, Facebook diperluaskan ke universiti-universiti Stanford, Columbia, dan Yale. Perluasannya berterusan dengan pembukaannya ke seluruh maktab pengajian tinggi bertaraf Liga Ivy dan di kawasan Boston, diikuti hampir semua universiti di Kanada dan Amerika Syarikat. Facebook diperbadankan pada pertengahan tahun 2004, dan usahawan Sean Parker yang selama ini menjadi penasihat tak rasmi Zuckerberg, menjadi presiden syarikatnya.
Pada Jun 2004, Facebook memindahkan tapak operasinya ke Palo Alto, California. Perkataan “The” digugurkan dari namanya setelah nama domain facebook.com dibeli dengan harga $200,000 pada tahun 2005.
Facebook melancarkan versi sekolah tinggi pada September 2005, sebagai apa yang diperkatakan oleh Zuckerberg sebagai langkah logik seterusnya.K etika itu, rangkaian sekolah tinggi memerlukan jemputan untuk menyertainya. Facebook kemudian meluaskan kelayakan keahliannya kepada para kakitangan beberapa syarikat, termasuk Apple Inc. dan Microsoft. Akhirnya pada 26 September 2006, Facebook dibuka kepada semua yang berumur 13 tahun ke atas dengan alamat e-mel yang sah.
Pada April 2006, palabur pertama Facebook iaitu Peter Thiel bersama Greylock Partners dan Meritech Capital Partners telah menambah pelaburan di Facebook dengan dana sejumlah US$25 juta.
Selepas 2 tahun Facebook beroperasi, muncul pula pelbagai laman jaringan sosial seperti Myspace dan YouTube yang dijual dengan harga berjuta dollar. Myspace menerima tawaran NEWS CORP sebanyak US$580 juta manakala YouTube pula menerima tawaran sebanyak US$1.5 billion dari Google.
Tapi apa yang menariknya ialah Mark Zuckerberg tidak mahu menjual Facebook walaupun telah ditawarkan oleh Google & Yahoo pada harga mencecah US$1 billion. Walaupun keputusan beliau telah mengundang pelbagai spekulasi negatif tapi dia telah membuktikan masih banyak lagi yang boleh dicapai oleh Facebook. Hasilnya selepas 3 tahun penubuhan Facebook, Mark Zuckerberg telah dinobatkan sebagai bilionair termuda dunia oleh Majalah Forbes dengan anggaran harta bernilai US$1.5 billion.
Sehingga kini makin ramai pelabur yang membuat pelaburan di Facebook dan yang terbaru ialah Firma Goldman Sachs sebanyak US$450 juta serta syarikat Digital Sky Technologies sebanyak US$50 juta dalam bentuk mata wang. Pelaburan itu membuatkan harga semasa Facebook ketika ini sudah mencecah US$50 billion (RM153 billion). 25% daripada saham Facebook adalah milik Mark Zuckerberg sendiri.
Hari ini fenomena FB telah melanda segenap lapisan masyarakat. Miskin, kaya, tua, muda, pemimpin negara, rakyat biasa, pegawai tinggi, kuli, polis, penjenayah, dan bahkan pengemis jalanan pun ada akaun FB. Seseorang apabila ditanya sama ada memiliki akaun FB atau tidak, jika jawapannya “tidak ada”, si penanya akan memandangnya dengan penuh skeptikal. Seperti tidak lengkap jika tidak ada FB. Seperti orang yang tidak memiliki telefon bimbit.
Sedar tak sedar fenomena ini telah memberi impak yang banyak baik kepada individu, keluarga, masyarakat, organisasi dan negara. Di dalam FB sesiapa saja bebas untuk mengatakan apa saja; memuji, mengutuk, meluahkan kemarahan, kepandaian, dan juga kebodohan. Oleh itu impaknya boleh jadi positif dan boleh jadi juga negatif, bergantung kepada siapa yang membuat kenyataan dan kepada siapa kenyataan itu ditujukan.
Sedar tak sedar FB telah menjadi seperti dadah yang menyebabkan ahli-ahlinya ketagih kerana ‘keseronokan’ sementara yang ditawarkan; bergosip dan bermain permainan maya yang tidak kunjung tamat.
Dalam FB para politikus menunjukkan taring mereka. Ada pekerja yang diberhentikan kerja gara-gara mengutuk bos dalam FB dan produktiviti yang merosot. Ada pasangan yang bergaduh besar dan ada yang sampai berpisah gara-gara status FB sahaja. Kesihatan orang-orang yang aktif berFB juga ada yang terjejas kerana tidak cukup rehat gara-gara ‘bermain’ FB tidak mengira waktu, tempat dan keadaan.
Bagi yang lebih kreatif dan berwawasan, mereka menggunakan FB untuk tujuan komersial dengan membina network pemasaran. FB juga menjadi tempat untuk ‘bertemu’ rakan2 yang sudah lama terpisah, dan bahkan ada yang menemukan pasangan hidup melalui FB. FB juga boleh digunakan sebagai medan percambahan minda melalui perbincangan maya yang efektif. Dan dengan cara yang berpatutan, ahli-ahli juga boleh menyalurkan ‘kegiatan2 ibadah’ melalui FB.
Fenomena Facebook adalah seperti fenomena internet yang melanda dunia ketika mula-mula diperkenalkan lebih sedekad yang lalu. Antara ketakutan terhadap impak negatif dan harapan terhadap kesan baiknya, mahu tidak mahu kita harus menerima masuk teknologi tersebut. Begitu juga dengan Facebook. Dalam masa beberapa tahun ke depan bilangan penggunanya pasti akan berlipat kali ganda. Tidak lama kemudian, mungkin semua pengguna internet akan memiliki akaun laman sosial masing-masing (pengguna internet pada tahun 2009 ialah sebanyak ¼ penduduk dunia!).
Facebook sering kali di cop negatif oleh sebilangan manusia. Namun pernahkah kita perasan yang Facebook juga memberi banyak kebaikan dalam seharian hidup kita. Berikut merupakan antara kebaikan-kebaikan Facebook:
1. Belajar bersabar dengan kerenah insan.
2. Belajar bersahabat dengan dunia yang tidak mengenali kita.
3. Belajar berbaik sangka dengan pendapat-pendapat dibaca.
4. Belajar menilai dengan apa yang kita pandang dari pelbagai gambar dan rupa.
5. Belajar mengembara mencari iktibar dari paparan ilmunya.
6. Belajar bersuara dengan kata-kata jiwa dengan keikhlasan di dada.
7. Belajar faham tentang sifat, ragam, sikap dan tragedi manusia.
8. Belajar senyum dan gembira dengan cara maya.
9. Belajar simpati dengan malang yang menimpa yang lain.
10. Belajar berkasih-sayang walau tanpa mata bertentangan.
11. Belajar bertahan dengan pelbagai cemuhan.
12. Belajar menyampaikan amanat Rasulullah s.a.w dan Allah s.w.t.
13. Belajar mengubah keburukan menjadi teladan.
14. Belajar membalut diri dengan kebaikan-kebaikan alam.
Sebenarnya banyak yang kita boleh pelajari tentang diri sendiri bagi kita yang berjaya melihat dengan mata hati. Sesungguhnya tidak dinafikan ada terselit kebaikan di sebalik kejahatan dan begitu juga sebaliknya kerana ini lah lumrah kehidupan manusia.
Ketika Mark Zuckerberg mula menulis program Facemash pada Oktober 2003, tiada siapa menyangka bahawa ia merupakan satu titik tolak kepada fenomena baru dunia. Terkini, Facebook merupakan rangkaian laman sosial tersohor dunia dengan lebih 600 juta pengguna aktif selain merupakan syarikat web ketiga terbesar di Amerika Syarikat (selepas Google dan Amazon) dengan nilai USD41 billion.
Apa yang pasti, Facebook merupakan ‘keajaiban’ dunia masa kini.

Artikel Berkaitan:

Rancangan Perniagaan


Setiap pekerjaan yang bakal dilakukan mesti mempunyai perancangan dan gerak kerja yang teratur. Tujuannya mudah, untuk memastikan semua kerja tersusun dan mengikut perancangan. Perniagaan yang dijalankan mempunyai tujuan iaitu untuk maju. Jika kerja yang dilakukan tanpa perancangan, kelak ia akan menjadi sia-sia. Pendek kata, perjalanan yang dijalankan tanpa direncanakan akan musnah. Perkara ini sangat penting kerana manusia yang normal itu mempunyai sifat mudah lupa. Jadi, perancangan kerja adalah penting. Berdasarkan perancangan yang telah dibuat, semua kerja akan menjadi lancar dan sempurna. Contohnya, Anuar Zaid menaiki kereta dan memandu sejauh 600 kilometer. Apa yang Anuar Zaid cari? Sekiranya dia mempunyai arah dan tujuan, pasti dia sudah sampai ke destinasi yang dirancang. Jika tidak, dia akan memandu sehingga dia sudah tidak mempunyai wang untuk mengisi petrol atau dia akan memandu sehingga kereta yang dipandunya rosak.
Berbalik pada topik asal, perancangan dalam perniagaan merupakan gerak kerja pertama sebelum melaburkan wang yang banyak atau sebelum mendapat pembiyaan. Jika tidak, kita perlu bersiap sedia untuk gagal dan menanggung kerugian berikutan wang yang telah dilaburkan. Kerana, kita perlu berkorban untuk mencapai kejayaan dan perlu melabur untuk mendapatkan keuntungan. Rancangan perniagaan merupakan sebuah dokumen bertulis yang menerangkan secara menyeluruh tentang perniagaan atau projek yang hendak dijalankan. Rancangan perniagaan merupakan pelan induk perniagaan yang menerangkan kajian-kajian yang telah dibuat dan langkah-langkah yang akan diambil pada masa hadapan untuk membangunkan perniagaan, ramalan dan jangkaan serta cara-cara perlaksanaan dan strategi perniagaan. Jika rancangan perniagaan tidak teratur, bagaimana kita mahu meneruskan langkah yang seterusnya. Rancangan perniagaan yang baik mempunyai potensi untuk terus membangun dan berkembang maju.
Kertas kerja ini perlu disediakan oleh bakal usahawan yang mahu berjaya, dan ia ditulis bukan untuk suka-suka atau untuk disimpan sahaja. Sebaliknya mempunyai tujuan yang tertentu. Penyediaan rancangan perniagaan ini merupakan satu ilmu baru bagi golongan yang berminat untuk terjun ke dunia perniagaan yang banyak saingan dan risiko. Dalam perkataan yang paling mudah, rancangan perniagaan mempunyai strategi yang akan dilakukan dalam menguruskan perniagaan yang bakal dijalankan. Rancangan yang baik merangkumi pelbagai perkara seperti rekod dan data tentang perniagaan, data perdagangan, penyelidikan pasaran, statistik dan sebagainya. Pengenalan tentang rancangan perniagaan sangat mudah untuk difahami. Oleh itu, mari kita lihat pula tujuan menyediakan rancangan perniagaan sebelum menjalankan perniagaan bagi peniaga dan bakal usahawan.
Mendapatkan pertimbangan dan kelulusan pihak bank
Perkara yang paling penting untuk memulakan sesuatu perniagaan adalah kesungguhan. Jika tiada bukti melalui penyediaan rancangan perniagaan, pihak bank akan mengatakan bahawa kita tidak serius dan hangat-hangat tahi ayam. Lebih-lebih lagi untuk mendapatkan kepercayaan pihak lain terutamanya pihak bank yang menyediakan pembiayaan dari segi modal. Contohnya Syam, dia adalah seorang remaja yang baru menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Shah Alam. Semasa berada di tahun akhir pengajian, dia mengalami kesukaran untuk mendapatkan kedai alat tulis yang berdekatan dengan kawasan rumah sewanya. Dia memerlukan banyak kertas lukisan, berus cat, warna, pensil dan sebagainya untuk menyiapkan tugasan dan lukisan. Tambahan pula, kawasan itu baru sahaja dibangunkan. Jadi, tidak banyak kedai yang mula beroperasi. Disebabkan jarak yang dekat untuk ke kelas, kawasan ini sepenuhnya dihuni oleh pelajar Uitm sendiri. Jumlah kedai boleh dikira dengan jari. Timbul kesedaran dalam diri untuk melakukan sesuatu sebaik tamat pengajiannya. Sekali gus, membantu kawan-kawan dan pelajar lain mendapatkan keperluan dan alat tulis yang mereka kehendaki. Sebagai permulaan, kedai ini hanya menjual alat tulis sahaja, dan Syam telah memandang lebih jauh dengan mengatur beberapa strategi dalam rancangan perniagaannya nanti.
Melihat dan menilai perniagaan secara objektif, kritikal dan praktikal.
Tujuan yang kedua adalah untuk kegunaan usahawan itu sendiri. bagaimana mereka boleh melihat dan menilai perniagaan secara objektif, kritikal dan praktikal. Sebab dan tujuan perniagaan itu diwujudkan. Perkara yang paling penting adalah produk yang akan dipasarkan atau mungkin servis dan perkhidmatan yang akan disediakan kepada pelanggan. Contohnya Syam mempunyai cadangan untuk membuka kedai menjual alat tulis. Di mana lokasi yang sesuai untuk Syam memulakannya? Adakah di kawasan perindustrian? Adakah anda fikir perniagaan ini akan terus maju atau sebaliknya? Membuka kedai menjual alat tulis sangat tepat jika kita membukanya di kawasan yang didiami pelajar. Contohnya di pusat komersial Seksyen 7, Shah Alam. Boleh dikatakan kawasan ini 90% didiami oleh pelajar Univerisiti Teknologi Mara. Tambahan pula, kawasan ini adalah kawasan yang baru dibangunkan dan tidak banyak kedai yang dibuka. Jadi, objektif yang digariskan dalam rancangan perniagaan itu akan tercapai dan perniagaan ini akan terus maju.
Menjadi garis panduan untuk pengurusan perniagaan
Seterusnya, tujuan menyediakan rancangan perniagaan adalah untuk menjadi garis panduan menguruskan perniagaan supaya menjadi lebih efisien dan sistematik. Tentang produk atau jenis perkhidmatan dan servis yang akan dijalankan. Katakan Syam telah membuka sebuah kedai menjual alat tulis di lokasi yang menjadi tumpuan pelajar universiti. Perancangan Syam bukan berakhir setelah dia berjaya membuka kedai menjual alat tulis sahaja. Sebaliknya, Syam perlu merancang untuk masa yang akan datang dan bulan-bulan yang seterusnya. Katakan Syam hanya menjual alat tulis sahaja di awal penglibatannya dalam dunia perniagaan. Walau bagaimanapun, Syam juga mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaannya agar terus maju. Disebabkan itu, Syam turut merancang untuk mempunyai mesin perkhidmatan potostat yang akan diletakkan di dalam kedai alat tulis kepunyaannya.. Syam mempunyai matlamat untuk membeli sebuah mesin cetak selepas 6 bulan berniaga alat tulis. Dia bercadang menyediakan perkhidmatan itu di dalam kedai yang sama. Secara ringkasnya, Syam membantu dengan memudahkan pergerakkan pelajar untuk pergi ke kedai lain bagi mendapatkan perkhidamatan potostat.
Mengkaji dan menilai potensi
Selain itu, rancangan perniagaan juga ditulis untuk mengkaji dan menilai samada perniagaan yang akan dilaksanakan mempunyai potensi untuk terus maju atau sebaliknya. Kedai menjual alat tulis Syam semakin hari semakin maju. Kerana pelajar memerlukan alat ini untuk memulakan pembelajaran. Pemilihan lokasi mempengaruhi kadar sambutan dalam perniagaan yang dijalankan. Menjelang musim peperiksaan, perniagaannya mampu mengaut keuntungan yang sangat memberangsangkan. Tambahan pula, di kawasan itu tidak terdapat kedai menjual alat tulis yang lain kecuali kedai Syam sahaja. Memandangkan perniagaannya semakin maju dan mempunyai pelanggan yang ramai, Syam telah menambah rancangan dalam perniagaannya. dengan membeli sebuah mesin potostat pula. Kebetulan juga kawasan itu tidak terdapat kedai yang menyediakan perkidmatan potostat. Menurut pandangan Syam, pelajar malas bergerak untuk berjalan pergi ke kedai lain semata-mata untuk mencari perkhidmatan potostat. Jadi, kedai menjual alat tulis Syam telah ditambah dengan perkhidamatan potostat. Ianya mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan.
Selain itu, Syam juga mempunyai rancangan lain untuk memajukan perniagaannya. Apabila tanggungjawab bertambah, Syam memerlukan tenaga yang ramai. Maka, Syam telah mengupah beberapa orang pembantu yang terdiri daripada kawan-kawannya juga untuk menguruskan kedainya itu. Selepas setahun, Syam sudah mampu menyewa sebuah kedai di sebelah kedai alat tulisnya. Kedai baru itu hanya menyediakan perkhidmatan potostat dan juga perkhidmatan internet. Hari ini, Syam sudah mempunyai dua buah kedai yang terletak bersebelahan. Mudah juga bagi Syam untuk menguruskannya dan dia tidak perlu berjalan jauh. Rancangan perniagaan yang direncanakan di dalam kertas kerja itu telah menampakkan hasilnya dan Syam gembira.
Sebagai idea untuk meyakinkan pihak lain
Di samping itu, rancangan perniagaan juga mempunyai tujuan bagi meyakinkan pihak-pihak tertentu tentang idea-idea perniagaan dan boleh dijadikan sebagai asas bagi cadangan mendapatkan pembiayaan. Setelah perniagaan yang dijalankan semakin maju, kita mempunyai niat untuk mengembangkannya lagi dengan membuka cawangan di tempat lain pula. Sekiranya kita mempunyai modal yang cukup, masalah ini tidak mengganggu kerana kita tidak memerlukan bantuan orang lain. Apabila mempunyai rancangan perniagaan yang jelas, mudah bagi kita untuk mendapatkan pinjaman dan pembiayaan dari badan-badan yang tertentu. Jika kita pernah mendapat pembiyaan pihak bank dan membayar hutang yang dibuat, pihak bank tidak teragak-agak untuk memberi pembiayaan lagi. Selain itu, semua idea yang didokumenkan dalam perancangan perniagaan dapat dilihat dan pihak yang lain boleh menilainya sendiri. Atau juga, mudah bagi kita untuk mendapatkan kepercayaan pihak yang berminat untuk melabur bersama. Apabila mempunyai rancangan perniagaan dan pencapaian yang telah dicapai, pihak tertentu tidak berfikir panjang untuk bekerjasama dengan kita. Sekurang-kurangnya kertas kerja perniagaan ini mampu menyokong usaha kita.
Pengagihan sumber dengan lebih baik
Pada masa yang sama, rancangan pernigaan juga adalah untuk mengagihkan sumber-sumber yang terhad dengan lebih baik. Pengagihan yang paling penting dalam perniagaan adalah tentang wang yang dimasuk dan wang yang dikeluarkan. Contohnya untuk perbelanjaan bulanan, iaitu modal bulanan yang dikeluarkan untuk membeli sumber bekalan jualan. Tanpa sebarang perancangan yang teratur, kewangan akan sukar untuk diagaihkan. Wang yang dikeluarkan untuk membayar sewa kedai, bil elektrik dan penyelenggaraan kedai adalah suatu kewajipan yang perlu diamil berat. Jika mempunyai pekerja, gaji mereka perlu dibayar. Jadi, wang yang sepatutnya perlu diasingkan agar wang itu tidak hilang tanpa dapat dikesan penggunaannya.
Kemungkinan wang akan digunakan untuk membeli sesuatu yang tidak mempunyai kepentingan. Contohnya Syam yang merancang untuk membeli sebuah mesin cetak selepas 6 bulan menjalankan perniagaan menjual alat tulis. Sambutan dalam penjualan alat tulis samakin meningkat dan Syam berjaya memiliki sebuah mesin cetak pertama mengikut rancangan yang disediakannya. Selepas 2 bulan membeli mesin cetak, Syam menambah sebuah lagi. Selepas setahun, Syam sudah mempunyai 2 buah kedai yang terletak bersebelahan dan kedai potostatnya mempunyai sebanyak 10 buah mesin cetak untuk perkhidmatan potostat. Syam bijak membelanjakan wang mengikut rancangannya. Keuntungan yang diterima digunakan untuk membayar sewa kedai, bil-bil, gaji pekerja dan sebagainya.
Perjalanan atau perniagaan yang tidak mempunyai perancangan yang baik akan menjadi tidak sempurna dan terpaksa berhenti di separuh jalan. Contohnya Ummu yang melaburkan wang sebanyak RM 20,000.00 untuk membuka sebuah kedai menjual pakaian wanita. Dia memang bercita-cita untuk membuka kedai itu, tetapi tidak mempunyai sebarang ilmu atau pengalaman dalam dunia perniagaan. Selain itu, dia juga tidak pernah mendapatkan sebarang nasihat daripada pihak lain. Selepas sebulan kedainya terpaksa ditutup kerana perniagaannya tidak mendapat sambutan. Perkara paling penting, dia tidak mempunyai sebarang rancangan perniagaan. Sekurang-kurangnya Ummu mempunyai produk lain atau servis lain untuk dipasarkan dikedai barunya. Dia tidak mempunyai perancangan pada masa hadapan kerana dia hanya melihat untuk tempoh yang singkat sahaja. Jika dia merancang dengan terperinci, perniagaannya akan boleh pergi jauh dan berkembang.
Secara kesimpulannya, rancangkan setiap perjalanan dan perniagaan yang diimpikan. Kerana, sebelum orang yang bijak memulakan satu perjalanan yang jauh, mereka mempunyai perancangan. Pada amnya, semakin jauh perjalanan dan pernigaan itu, semakin terperinci perancangan yang dibuat. Setiap perniagaan dianggap akan memulakan satu perjalanan yang jauh. Kerana kita membuka perniagaan bukan untuk tempoh sebulan sahaja. Oleh itu, kita memerlukan perancangan dan misi. Perancangan yang berfokuskan matlamat jangka masa panjang yang diinginkan. Perniagaan yang tidak mempunyai perancangan akan terdedah kepada pembaziran sumber dan masa kerana cuba menjalankan perniagaan dan operasi tanpa arah. Ringkasnya, rancangan perniagaan perlu disediakan sebelum sesebuah perniagaan itu dilancarkan.

Artikel Berkaitan: